SIAPA KITA ???
Kita mengarungi hidup ini berdasarkan
bagaimana kita ‘melihat’ diri sendiri. Kita sebenarnya tanpa sedar atau tidak,
akan meletakkan definisi tertentu kepada diri sendiri dan ada kalanya kita
memberi definasi kepada diri berpandukan pandangan orang lain terhadap kita.
Memang benar, imej diri dipengaruhi banyak faktor seperti pandangan ibu bapa,
rakan, persekitaran dan media. Keyakinan diri pula merujuk kepada bagaimana
kita menilai harga diri kita dan pandangan mengenai diri samada positif atau
negatif.
Topik mengenai diri amat menarik untuk dibincangkan. Saya merasakan bahwa
mengenali diri, menyayangi diri, yakin kepada diri merupakan satu isu yang
perlu diulang kembali kalau boleh berkali-kali khususnya kepada remaja semua.
Jika kita TIDAK mengenali diri, maka besar kemungkinan kita akan menjadi
lalang, tiada pendirian dan mudah terpengaruh ditiup dan ditepis ke kiri dan
kanan sewenangnya. Begitu mudah kita dibawa ‘angin’ - berubah fikiran dan
prinsip hidup mengikut rentak angin yang bertiup. Tidak mengenali diri maka
seringlah kita merasa rendah diri dihadapan orang lain. Manakan tidak kekuatan
diri pun tidak dicari dan diketahui sedangkan Allah menciptakan kita semua
masing-masing dengan kekuatan yang tersendiri. Mungkin bukan salah anda,
mungkin selama ini tidak ada yang memuji dan meyakinkan bahawa anda sebenarnya
tersangat istimewa. Namun janganlah dan usahlah mengharapkan orang lain lagi,
mari bangkit untuk mengenali diri sendiri!
Konsep diri. Apa itu? Dalam psikologi konsep diri
merupakan gambaran mental mengenai siapa diri kita yang diberi oleh diri kita
sendiri. Soalan seperti “siapa saya?” amat penting sekali untuk diselami.
Konsep diri seseorang, sangat mempengaruhi keyakinan diri kita. Bagaimana kita
menilai diri banyak bergantung kepada personaliti dan juga “pengalaman” hidup.
Setiap dari kita mempunyai pengalaman sedih, gembira, emosi yang positif dan
negatif, kejayaan dan kegagalan yang akan membentuk pengalaman unik diri ini
yang berbeza dengan orang lain. Oleh itu tak usah meniru orang lain, tak usah
menjadi orang lain. Kita semua berbeza. Raikan perbezaan diri kita yang unik
ini.
Untuk mengenali diri dengan lebih baik
ada beberapa fokus mengenai diri yang pakar psikologi ketengahkan. Konsep diri
bergantung kepada koleksi “skema diri” –iaitu bagaimana kita melihat
diri ‘secara keseluruhan’ dan skema diri setiap dari kita sebenarnya telah
dibentuk sejak dari kecil lagi. Ianya satu proses di dalam minda yang amat
bergantung kepada ilmu pengetahuan seseorang, kepercayaan dan pengalaman lalu
mereka. Pengetahuan, kepercayaan dan pengalaman lalu itu pula amat dipengaruhi
oleh faktor budaya, latar belakang dan persekitaraan. Baiklah secara ringkasnya
, skema diri ini sangat penting untuk difahami kerana skema diri ini akan
membentuk dan membimbing kita untuk membuat penilaian mengenai pengalaman yang
kita lalui. Bagaimana?
Contohnya jika seorang remaja ditenung
dan diperhati oleh seseorang – maka berdasarkan pengalaman lalu kita akan
memberi respon kepada tenungan ini. Individu A: akan berfikir dalam diri bahawa
“oh mereka tenung aku sebab aku cantik, hebat dan popular” Individu B: akan
berkata “oh mereka tenung aku sebab aku comot dan buruk.”
Nampak tak pembaca, bagaimana pegalaman
lalu membentuk persepsi kita. Skema diri boleh menjadi bahaya sekiranya kita
tidak berhati-hati dengan penilaian kita mengenai diri sendiri. Contohnya
seseorang yang sering berkata kepada diri, “Aku memang bodoh pun” – refleksi
perlu dilakukan kepada skema diri kita kerana ianya ada kaitan dengan motivasi
diri. Kalau kita rasa diri kita bodoh, maka memanglah sukar untuk kita berusaha
dengan lebih kerana kita sudah yakin dengan skema diri yang dibentuk. Jika kita
rasa kita ini pemalu, tidak berani, tidak hebat dan segala sifat negatif yang
lain motivasi kita akan secara automatik akan berkurangan. Oleh sebab motivasi
kita sudah rendah maka usaha yang diletakkan ke dalam sesuatu perkara juga akan
berkurangan. Apakah penilaian diri anda kepada diri sendiri yang selama ini
tidak berapa tepat dan boleh diperbaiki?
Para pembaca sekalian, satu lagi faktor yang perlu diberi perhatian untuk
kita mengenali diri adalah apa yang disebut sebagai “possible selves” atau
jika dialih bahasa boleh disebut sebagai “kemungkinan diri” Siapa diri kita ini
di masa akan datang? Apakah harapan kita , siapa yang ‘mahu’ kita jadi dan
siapa dia yang takut untuk kita serupai. Kemungkinan diri memberi kita semangat
dan matlamat dalam hidup. Siapa dia ‘possible selves’ anda agaknya?
Faktor ‘konsisten diri’ atau “consistent
self” pula menekankan bagaimana kita mahu dinilai oleh orang lain. Kita
akan konsisten dengan menzahirkan siapa kita melalui sikap, perbuatan juga
pemakaian kita. Kita akan cuba menjauhi apa-apa sikap yang bertentangan dengan
diri. Kita juga akan berkawan dengan mereka yang akan memperkasakan konsep diri
kita.
Contohnya, sekiranya seseorang itu mahu
dilihat sebagai seorang yang berstatus tinggi maka dia akan berpakaian dengan
pakaian branded, bawa kereta mahal, berkawan dengan orang-orang yang
kaya dan sebagainya. InsyaAllah pembaca yang disayangi sekalian, biarlah
kita konsisten dengan sikap diri yang mahu menjadi orang yang baik, soleh dan
beriman. Kita mengambil sikap yang berakhlak, pakaian yang menutup aurat dan
berkawan dengan sahabat-sahabat yang soleh lagi baik budi pekerti.
Konsisten diri ini amat perlu untuk kita bentuk agar hidup kita dikukuhkan
dengan prinsip dan nilai yang kuat dan mampu kita pegang sampai bila-bila walau
apa jua terjadi. Jika kita mempunyai ‘konsisten diri’ yang utuh, maka kita
tidak menjadi lalang. Ada manusia yang tiada langsung nilai dan prinsip, apa
sahaja boleh asalkan mereka diterima oleh orang ramai. Asalkan kemahuan mereka
tercapai. Persoalannya perlukah kita ‘gembira’ diterima oleh manusia lain
sedangkan kita tidak diterima oleh Allah? Perlukah kita gembira mendapat habuan
dunia sedangkan kita tahu ianya salah dan haram?
Biarlah kita memilih untuk membentuk
konsisten dalam diri dengan perkara-perkara yang baik. Kadangkala ianya memang begitu
sukar, kita akan pada satu-satu ketika terpengaruh dengan persekitaraan,
keadaan, kata-kata dari orang lain misalnya. Kadangkala kita dipengaruhi kerana
wang. Saya berpegang kepada prinsip mahu menjadi konsisten dalam sikap saya
sebagai seorang Muslimah. Namun kadangkala saya tahu saya silap dan salah.
Kadangkala saya lupa. Kadangkala persekitaran yang tidak baik membuat saya
alpa. Namun selepas itu saya menilai kembali diri. “Siapa saya?” tanya saya
pada diri. Siapa yang mahu saya jadi? Adakah sikap saya konsisten dengan impian
saya itu? Setiap hari kita bertembung dengan berbagai kemahuan yang tidak patut
kita lakukan. Menilai diri sendiri sebenarnya lebih banyak faedahnya dari
membuang masa menilai orang lain. Menilai diri membuatkan kita ‘berfikir’
bagaimana untuk memperbaiki diri.
Memperbaiki diri membuatkan kita lebih yakin
dengan diri. Memperbaiki diri membuatkan kita mengharagai diri dan menyayangi
diri. Sekiranya kita sayang pada diri dengan meninggalkan segala maksiat dan
kemungkaran nescaya Allah juga akan menyayangi diri ini. Katakanlah pada diri
“aku ini telah diciptakan terlalu baik untuk melakukan segala maksiat ini”
Sekiranya Allah menyayangi kita, tiada siapa, tiada apa yang dapat
menghalangnya. Itulah kekuatan sebenar. Itulah kemenangan yang agung.
MasyaAllah bayangkan kekuatan yang ada pada jiwa seorang hamba yang benar-benar
menyerah diri. Kagum dan gerun mereka disekeliling kita, tercari-cari dimana
dia datangnya kekuatan manusia ini. Jika mereka tahu, jika kita tahu kekuatan
menjadi Muslim yang baik tiada tolok bandingnnya… MasyaAllah! Allah berfirman
di dalam Quran “berlumba-lumbalah membuat amal kebajikan” Ya lumba!
Dengan pantas dengan laju tanpa membuang masa! Bukan berlumba dalam harta atau
kedudukan tetapi dalam amal kebaikan. InsyaAllah setelah itu saya yakin pasti
harta dan kedudukan akan datang! Konsep diri yang cuma mahu kaya raya,
berharta, berkedudukan sebenarnya merosakkan segalanya!
Akhir kata, mari fikirkan kembali mengenai konsep diri yang telah saya
sebutkan tadi. Siapa kita, pengalaman kita, pemikiran kita mengenai diri. Siapa
dia yang mahu kita ‘jadi’? Siapa yang takut untuk kita ikuti? Apa dia identiti
diri ini? Untuk merubah diri ianya semuanya bermula di dalam minda sendiri.
Kerana itulah banyak berfikir mengenai perkara yang saya sebutkan tadi iaitu
mengenai diri sendiri amat baik untuk kita. Cukup-cukuplah memandang
kepada orang lain selepas ini. (Namun memandang kepada orang yang baik dan
soleh digalakkan) Ingatlah pesanan ini – Apa yang kita fikir, percaya dan rasa
mempengaruhi sikap dan perlakuan kita. Fikir, percaya dan rasalah kita ini
Muslim yang akan menemui Tuhannya membawa segala amalan yang baik dan buruk
walau sekecil zarah. Fikirlah bahawa Allah sudah berjanji tidak akan
mensia-siakan segala amalan baik yang kita lakukan. Balasannya akan tiba.
InsyaAllah ini akan mempengaruhi sikap kita. Nah, soalan terakhir saya, apakah
yang anda fikirkan kini mengenai diri dan masa hadapan? Fikirlah pembaca,
fikirlah sedalam-dalamnya. Siapa kita sebenarnya?
Salam Sayang
0 komentar:
Posting Komentar